
Wani mula menyanyi seawal usia 6 tahun dan pernah menyertai satu pertandingan nyanyian di Los Angeles, California, Amerika Syarikat enam tahun kemudian. Beliau mengikat kontrak bersama Suria Records yang pernah menaungi Datuk Siti Nurhaliza dan seterusnya muncul bersama single sulungnya, "Jangan Jangan". Lagu ini mendapat sambutan hangat dengan mencatatkan jumlah tontonan seramai 1 juta di YouTube dalam masa dua bulan. Wani mewakili Malaysia ke pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) yang berlangsung di Hollywood, California, Amerika Syarikat pada Julai 2018. Beliau merupakan antara 15 yang terpilih untuk mewakili negara daripada 30 peserta yang bersaing untuk merebut tempat secara keseluruhan.[5] Wani menyertai pertandingan Big Stage #DominasiBBNU dan bersaing bersama rakan-rakan BBNU (Budak Baru Nak Up) bagi menempa nama dalam industri muzik tanah air. Peserta yang terlibat termasuk Sarah Suhairi, Ariff Bahran, Afieq Shazwan, Andi Bernadee, Tajul Ariff, Syafiq Farhain, Baby Shima dan Sissy Iman.